Sabtu, 20 Ogos 2011

KOMPLEK PENERANGAN PELANCONGAN BAGAN DATOH......




Mulai tanggal 27hb Julai 2011, Komplek Penerangan Pelancongan Bagan Datoh telah beroperasi di bawah pengurusan MBM Advanced Engineering & Information Sdn. Bhd bagi pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI). Komplek Penerangan Pelancongan Bagan Datoh ini menempatkan Ruang Serbaguna - mini pentas, Kiosk, Bilik Sewa, Bilik Seminar, Surau serta tandas. Bagi menarik pengunjung ke Komplek ini pihak MBM sedang membuka peluang kepada warga Bagan Datoh untuk berniaga di premis ini. Gerai Makanan untuk jualan Satay, Ikan Bakar dan Yoong Taw Foo telah dikenalpasti untuk disewakan kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan perniagaan tersebut di Komplek ini.
Pihak Pengurusan MBM turut menempatkan Pejabat Homestays Bagan Datoh, kiosk jualan kraftangan, menyediakan perkhidmatan sewaan bilik, sewaan bilik seminar@kursus serta tapak gerai berbumbung dan tidak berbumbung. Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak MBM di talian: Pak Usop di talian 010 8992811 atau Pak Isa - 013 3914000
Pada 15hb Ogos 2011, pihak pengurusan MBM telah membentangkan kertas kerja kepada Yang Berhormat Dato' Seri Dr. Hj. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh bagi menaiktaraf infrastruktur Kompleks ini dan perancangan pihak pengurusan pada masa hadapan bagi menjadikan Bagan Datoh sebagai destinasi pelancongan dan pintu masuk laluan laut ke Indonesia setaraf seperti di Pelabuhan Kelang pada masa hadapan. Semoga perancangan pihak MBM yang dimiliki oleh Bagan Datoh Holding (M) Sdn. Bhd. ini akan terlaksana dan sebagai warga Bagan Datoh dapatlah kita bersama mendokong merealisasikan perancangan MBM ini.



Khamis, 18 Ogos 2011

Kedai Pekan Bagan Datoh Terbakar Lagi......



Pada awal bulan Ogos 2011, Pekan Bagan Datoh dikejutkan dengan kebakaran sebaris bangunan kedai kayu di Pekan Bagan Datoh. Ia melibatkan kedai simpanan perabot, cenderahati,kedai gunting rambut dan salon rambut. Oleh kerana bangunan lama ini diperbuat daripada kayu maka kebakaran ini telah meranapkan barisan deretan bangunan kedai tersebut. Menurut sumber yang dipercayai ianya disebabkan litar pintas dari pendawaian komputer dari premis Mesin Kuda yang beroperasi secara haram bahagian belakang bangunan kedai tersebut.
Kurang sebulan dari itu sebuah kedai Mini Market Sri Cahaya yang mempunyai premis Siber Cafe turut terbakar. Kebakaran ini juga disebabkan litar pintas dari premis Siber Cafe dalam Mini Market tersebut. Mujurlah kedai mini Market ini diperbuat daripada batu yang menyebabkan kebakaran tersebut dapat dikawal oleh Bomba Sukarela yang terdapat di Pekan Bagan Datoh serta dibantu oleh Pasukan Bomba dari Balai Bomba Hutan Melintang.
Beberapa tahun sebelum ini sederet bangunan kedai kayu di Pekan ini telah terbakar dan bangunan baru yang diperbuat daripada batu telah dibina. Ini merubah sedikit imej Pekan Bagan Datoh daripada imej "Pekan Koboi" selama ini. Semoga dengan adanya Sekolah Sains Bagan Datoh (SABDA) dan pembangunan lain yang akan dibina iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM Bagan Datoh) dan pembinaan Limbungan Kapal NGV Tech di Bagan Datoh akan menambah populasi penduduk dan meningkatkan ekonomi Pekan Bagan Datoh pada masa akan datang.



Ahad, 14 Ogos 2011

Selamat Datang Ke Laman Blog:Bagan Datok Kini (BDK)

Salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua warga Bagan Datoh. Semoga semua berada dalam keceriaan di bulan Ramadhan ini. BDK terpanggil untuk membina Laman Blog ini bagi menjadi satu wadah info alternatif dalam era Media Baru di negara ini. Info berkaitan Bagan Datoh di media arus perdana seperti akhbar, radio dan tv adalah amat terhad. Oleh itu Admin BDK berharap dengan munculnya Laman Bolg BDK ini segala isu, info, peristiwa dan kejadian yang berlaku di kawasan Bagan Datoh akan dapat diketengahkan mengikut pandangan khalayak @ akar umbi penduduk Bagan Datoh itu sendiri.

Oleh itu BDK amat berharap mendapat kerjasama daripada khalayak @ warga Bagan Datoh memberi input dan sumber berita kepada BDK untuk di ketengahkan dalam Laman Blog ini. BDK memilih Rumpunan Buluh sebagai Wallpaper bagi Laman Blog ini kerana ia simbol kekuatan bermasyarakat yang saling berkerjasama, bantu membantu dan bertoleransi dalam bermasyarakat. Semoga Bagan Datoh terus maju dan warga masyarakatnya bersatu demi kemakmuran generasi Bagan Datoh akan datang............. SEKIAN.